fb fb fb fb fb

JPJ kuat kuasa penuh VEP mulai 15 November ini

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli

JOHOR BAHRU, 1 November- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan penguatkuasaan penuh terhadap kenderaan persendirian individu dan syarikat yang melakukan kesalahan berkaitan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), bermula 15 November ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata kesalahan melibatkan tiada VEP, VEP tamat tempoh dan masih berstatus Pra Daftar.

Penguatkuasaan penuh melibatkan saman yang wajib dijelaskan, selain pemilik kenderaan perlu mendaftar VEP sebelum keluar dari Malaysia.

"Kerajaan berpandangan sudah tiba masanya untuk melaksanakan penguatkuasaan sepenuhnya ke atas syarikat-syarikat yang membawa masuk kenderaan persendirian milik syarikat ke Malaysia.

Walau bagaimanapun, penguatkuasaan buat masa ini masih hanya menumpukan kepada kenderaan yang tidak mempunyai VEP (Vehicle Entry Permit). Tindakan saman yang akan dikeluarkan hanyalah bagi kesalahan tiada VEP; saman-saman bagi kesalahan lain akan ditangguhkan terlebih dahulu," kata Datuk Aedy kepada pemberita.

Operasi penguatkuasaan akan diperluas ke negeri-negeri selain Johor, bagi mengesan kenderaan dari Singapura yang memasuki Malaysia tanpa VEP.

Beliau berkata demikian semasa menyertai Operasi Khas Penguatkuasaan VEP di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru.

Sehingga 30 Oktober lalu, sebanyak 55,486 kenderaan diperiksa di Johor Bahru, melibatkan 4,028 kompaun kesalahan tiada VEP, dengan nilai lebih RM1.2 juta.

Dalam tempoh sama, sebanyak 303,183 tag RFID dikeluarkan untuk kenderaan persendirian individu, dan 31,643 tag RFID dikeluarkan untuk kenderaan persendirian syarikat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM