SINTOK, 1 November - Pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) berjalan lancar sejak lebih sebulan diperkenalkan, namun beberapa penambahbaikan dicadangkan bagi melancarkan lagi proses pembelian bahan api bersubsidi itu.
Timbalan Dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Kamarul Azman Khamis berkata antara langkah yang boleh dipertimbangkan kerajaan adalah memperkenalkan kaedah alternatif seperti biometrik atau cap jari bagi tujuan pengesahan identiti pengguna.
Katanya, langkah itu bukan sahaja dapat mempercepatkan proses pembelian RON95 di stesen minyak, malah mengurangkan kebergantungan kepada MyKad.
“Mungkin kerajaan boleh menggunakan kaedah cap jari atau biometrik sebagai inisiatif tambahan. Sekiranya pengguna tercicir atau tertinggal MyKad di rumah, mereka masih boleh menikmati kemudahan BUDI95 menggunakan cap jari.
“Kaedah ini juga boleh mengelakkan berlakunya kecurian, pendua atau penyamaran identiti ketika membuat pembelian minyak petrol,” katanya ketika ditemui di UUM.
Dr. Kamarul Azman menambah, penggunaan MyKad secara berulang di pam minyak boleh menyebabkan kerosakan pada cip kad, sekali gus menyukarkan urusan rasmi lain seperti di bank atau agensi kerajaan.
Beliau turut mencadangkan kerajaan menilai semula had 300 liter sebulan yang ditetapkan ketika ini supaya lebih fleksibel, khususnya bagi pengguna yang sering melakukan perjalanan jarak jauh.
Namun secara keseluruhan, katanya, pelaksanaan BUDI95 berjaya mencapai matlamat utama, apabila hanya rakyat Malaysia yang layak menikmati subsidi bahan api seperti disasarkan kerajaan.
Tambah beliau, walaupun terdapat pelbagai tohmahan dan fakta mengelirukan yang tular, ia tidak menjejaskan keyakinan rakyat terhadap inisiatif berkenaan yang disifatkan sebagai langkah progresif ke arah pengurusan subsidi lebih bersasar.
Prof. Madya Dr. Kamarul Azman Khamis