KUCHING, 1 November - Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju dengan pembukaan laluan penerbangan terus antara Sarawak dan Pahang apabila syarikat penerbangan AirBorneo mula beroperasi kelak.
Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja menghubungkan dua negeri berkenaan, malah membuka peluang baharu dalam memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi serantau.
“Insya-Allah apabila kita mula penerbangan kita melalui AirBorneo, Kuantan dan Kuching akan dijalinkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Mesra Sarawak–Pahang di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak, malam tadi.
Majlis berkenaan diadakan sempena lawatan rasmi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Sarawak.
Turut berangkat, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama isteri.
Terdahulu, pada September lalu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencadangkan agar diwujudkan laluan penerbangan terus yang menghubungkan Kuching, Kuantan dan Melaka, ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Temasya Warisan Pahang di Museum of Contemporary Art (MOCA).