KUCHING, 1 November - Kembara Kenali Borneo yang berlangsung dua tahun lalu meninggalkan kenangan mendalam buat Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan keluarga diraja Pahang.
Baginda bertitah, pengalaman menyusuri perjalanan panjang merentasi Sabah dan Sarawak itu bukan sekadar kunjungan rasmi, sebaliknya menjadi memori berharga yang sentiasa segar dalam ingatan.
“Kita tidak akan lupa kembara dua tahun yang lalu. Secara ikhlas, rakyat Sarawak sentiasa dalam hati saya.
“Ini bukan dibuat-buat, kerana saya sendiri sering menonton semula rakaman video lama sepanjang jelajah itu. Begitu juga rakyat Sabah, walaupun jauh di mata, namun sentiasa dekat di hati,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika Majlis Malam Mesra Sarawak–Pahang yang diadakan di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak, malam tadi.
Baginda turut menyuarakan harapan agar selain laluan udara menerusi syarikat penerbangan kerajaan, AirBorneo, hubungan antara Pahang dan Sarawak dapat diperkukuh melalui pengangkutan air, sebagaimana yang pernah wujud suatu ketika dahulu.
“Kita usahakan dalam masa terdekat ini, mungkin sektor swasta boleh mengkaji dan menghidupkan semula feri Malaysia, kalau tidak silap saya, tahun 80-an. Sedikit sebanyak ini menjadi petanda usaha untuk mendekatkan lagi hubungan antara dua negeri, insya-Allah,” titah baginda.
Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar, dan Tengku Natasya Puteri.
