fb fb fb fb fb

Kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN, Kerajaan MADANI rakam penghargaan

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/BERNAMA

PUTRAJAYA, 1 November- Jemaah Menteri menegaskan kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitannya adalah hasil usaha bersama seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam memastikan kelancaran sidang berprestij itu.

"Dari mereka yang menjadi wartawan, mengusahakan pentas, terbabit dalam aspek hospitaliti, menjaga lalu lintas serta menyediakan makan dan minum, semuanya memainkan peranan penting dalam menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fahmi yang turut menerima dan menghantar pulang delegasi Timor-Leste berkata negara itu menzahirkan pujian terhadap penganjuran sidang yang disifatkan sangat teratur dan membanggakan.

"Delegasi Timor-Leste menyatakan mereka amat terkesan dengan pengalaman sepanjang sidang kemuncak, termasuk kecekapan pegawai pengiring yang menunjukkan kemampuan tinggi.

"Mereka melihat Malaysia berjaya sebagai tuan rumah dan kejayaan ini adalah milik rakyat Malaysia, kejayaan kita bersama," katanya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM