fb fb fb fb fb

JPJ perketat syarat, pemeriksaan spesifikasi keselamatan sebelum luluskan penganjuran sukan permotoran

(Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim bercakap pada sidang media selepas merasmikan
Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-20 Akademi JPJ di Tiang Dua, Ayer Keroh, Melaka)

AYER MOLEK, 17 Oktober - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengetatkan syarat dan pemeriksaan terhadap spesifikasi keselamatan sebelum meluluskan sebarang permohonan sukan permotoran yang akan dianjurkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, ia termasuk aspek teknikal seperti enjin kenderaan dalam keadaan baik dan menepati syarat yang ditetapkan jabatan itu.

Pihaknya sentiasa memandang serius aspek keselamatan dalam sukan permotoran berkenaaan dan bekerjasama rapat dengan pihak polis bagi memastikan segala syarat-syarat penganjurannya dipatuhi penganjur serta peserta.

"Setiap masa JPJ memang setiap masa perketatkan aspek pemanduan kenderaan drift ini, memang tak pernah pun kita melonggar, tak ada kita memang tidak melihat benda itu sebagai satu benda yang ringan, tak ada sebab drift ini pemanduan itu sendiri dah berbahaya memang aspek perlumbaan sedemikian rupa macam juga perlumbaan di Sepang," kata beliau selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-20 Akademi JPJ di Tiang Dua, di sini hari ini.

(Seorang peserta maut ketika Perlumbaan Battle of The King (BOTK) 2022 yang berlangsung di
Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, baru-baru ini/ Foto fail)

Zailani menyatakan demikian ketika mengulas mengenai seorang peserta maut ketika Perlumbaan Battle of The King (BOTK) 2022 yang berlangsung di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, baru-baru ini.

Dalam pada itu, JPJ akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemandu atau pemilik lori yang membawa barangan melebihi muatan dibenarkan.

Katanya, ia termasuk denda sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Media Baharu