KUALA TERENGGANU, 25 Jun- Program Karnival ‘Jom Masuk Kampung’ (JMK) anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) untuk penduduk di kawasan luar bandar sebagai landasan bagi mengeratkan lagi hubungan baik antara agensi dan jabatan kerajaan bersama komuniti setempat di setiap negeri.
Kejayaan pelaksanaan program itu mampu direalisasikan dengan sokongan penuh komuniti setempat.
Perkara itu dinyatakan Pengarah KEMAS Negeri Terengganu Dr Faridah Mat, selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Karnival JMK Kampung Tok Ku Pulau Manis di Serada, Kuala Terengganu.
"Dalam program ini, walaupun kecil tetapi dia memberi jangkaan impak yang sangat besar kepada penduduk kampung. Saya lihat pengurusannya oleh kepimpinan kampung.
"Program sebegini kita akan teruskan lagi peringkat Kemas dan apa yang kita pentingkan. Kita nak perkasakan dari sudut kepimpinan kampung, penyatuan kampung dan penglibatan aktif para usahawan, para belia di kampung ini," katanya kepada pemberita di sini.
Dr Faridah Mat turut menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah termasuk dua ekor kambing kepada pengunjung pada program karnival selama tiga hari itu.
Sebanyak 60 gerai jualan terdiri peniaga kecil makanan, minuman dan barangan turut diberikan tapak untuk menjalankan operasi perniagaan mereka.
Sebelum ini KEMAS memperuntukkan sebanyak RM700,000 untuk penganjuran Program Karnival Jom Masuk Kampung di 14 Negeri.
Kampung Tok Ku Pulau Manis merupakan lokasi keempat dalam siri penjelajahan program karnival tersebut pada tahun ini.
Penganjuran program itu juga adalah sebagai landasan bagi mengeratkan lagi hubungan baik antara agensi dan jabatan kerajaan bersama komuniti setempat.
(Dr Faridah Mat)