ARAU, 23 April - Program Jom Baca Bersama 10 Minit merupakan usaha mendorong budaya membaca dalam kalangan penduduk Perlis serta membentuk masyarakat lebih berilmu dan berpengetahuan.
Bertemakan "Nikmati Saat Ini", Jom Baca Bersama 10 Minit mempunyai maksud sangat mendalam dalam menghargai menghargai detik-detik kecil dalam kehidupan.
Menurut Timbalan Pengarah Akademik Kolej Komuniti Arau Mohd Azha Ismail, membaca membolehkan masyarakat menyelami dunia yang berbeza dan pada masa sama mengenali diri sendiri dengan lebih baik.
"Alhamdulillah dengan program yang seperti ini pelajar-pelajar akan lebih gemar membaca dan mengetahui bahawa membaca itu adalah satu amalan yang sangat baik untuk dia berehat seketika daripada kesibukan-kesibukan dia, tugasan dia sebagai seorang pelajarlah," kata Azha.
Beliau memaklumkannya pada Majlis Pelancaran Program Jom Baca Bersama 10 Minit di Dewan Afifi, Kolej Komuniti Arau dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, yang turut disertai Pengarah PPANPs, Abd Rahim Husin.
Program disertai 400 pelajar dan kakitangan Kolej Komuniti Arau dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis yang mana pelaksanaannya bersempena Sambutan Hari Buku Dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada 23 April saban tahun.
Dengan pelaksanaan program secara kolaborasi antara Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis (PPANPs) dan Kolej Komuniti Arau akan memberikan kelebihan kepada kedua-dua belah pihak iaitu melibatkan pertukaran sumber, penyelidikan bersama, program pembelajaran dan inisiatif lain yang saling menguntungkan antara perpustakaan awam dan kolej komuniti khasnya.