TAPAH, 23 April- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memperhalusi pelaksanaan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035, yang dijangka dilancarkan pada tahun ini sebagai panduan pembangunan pendidikan tinggi negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata pelan tersebut telah disiapkan berdasarkan laporan yang disediakan oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh kementerian.
Taklimat awal mengenai pelan telah disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kita sedang memperhalusi aspek pelaksanaan pelan yang sedia ada termasuk berhubung dengan pihak berkepentingan seperti universiti, politeknik dan seluruh ekosistem pendidikan tinggi.
Insya-Allah, dalam tempoh terdekat, pelan ini akan dilancarkan," kata Datuk Seri Dr. Zambry kepada pemberita, hari ini.
Datuk Seri Zambry ditemui selepas menghadiri Program Outreach KPT@Tapah di Dewan Serbaguna RPA2, Ayer Kuning.
Beliau juga menekankan bahawa pelan tersebut adalah 'dokumen hidup', yang fleksibel dan terbuka kepada semakan mengikut keperluan dan perubahan semasa.
Pelaksanaannya turut mengambil kira perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan inovasi digital untuk memastikan kesesuaian dengan keperluan masa depan.
Sementara itu, beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO menegaskan komitmen Barisan Nasional (BN) untuk terus berkhidmat demi kepentingan rakyat, dengan menumpukan agenda pembangunan dan kesejahteraan masyarakat.
Menurutnya, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning perlu dijalankan secara adil dan beretika tanpa melibatkan sebarang kenyataan keterlaluan atau unsur sentimen perkauman yang boleh menggugat keharmonian negara.
Tambah beliau, kempen pilihan raya mestilah berlangsung secara berintegriti, dengan memberi keutamaan kepada kebajikan penduduk serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.
"Kita sentiasa bekerja, teruskan bekerja untuk rakyat tanpa membuat kenyataan-kenyataan yang keterlaluan, tanpa bermain sentimen-sentimen rakyat yang boleh merosakkan dari segi kedudukan kehidupan rakyat.
Cara ini lebih maklum, bagaimana cara kita berkempen melalui BN," jelasnya.
Dalam pada itu, Dr. Zambry turut menjadikan Parlimen Tapah sebagai contoh kejayaan perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India, yang menurutnya wajar dikekalkan sebagai asas kepada kestabilan politik dan sosial negara.