fb fb fb fb fb

CUEPACS gesa kaji semula Skim MySTEP kepada Pegawai Pemantau Harga

Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat /Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 23 April – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan agar menilai semula keputusan melaksanakan Skim MySTEP kepada Pegawai Pemantau Harga (PPH) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata pelaksanaan skim tersebut boleh menjejaskan kestabilan pekerjaan dan kebajikan golongan berkenaan yang telah lama berkhidmat di bawah sistem Kontrak Perkhidmatan.

Menurut beliau, langkah menukar pelantikan pegawai pemantau harga kepada Skim MySTEP merupakan satu bentuk penurunan taraf, kerana ia tidak menjamin kestabilan pekerjaan serta mengurangkan faedah yang sebelum ini dinikmati.

“Pegawai pemantau harga telah berkhidmat selama 18 tahun di bawah sistem Kontrak Perkhidmatan. Cadangan menukar mereka kepada Skim MySTEP bukan sahaja menjejaskan kestabilan kerjaya, malah mereka akan kehilangan faedah cuti rehat, kemudahan perubatan dan hanya menerima kontrak jangka pendek,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menuntut supaya PPH yang terlibat dinaik taraf sekurang-kurangnya kepada pelantikan Kontrak Untuk Perkhidmatan (Contract of Service), yang menyediakan perlindungan pekerjaan dan kebajikan yang lebih baik.

“Kita merayu kepada kerajaan agar memberi pertimbangan secara ihsan kepada pegawai pemantau harga ini. Janganlah mereka diturunkan kepada lantikan MySTEP.

"Sebaliknya, naik tarafkan mereka kepada lantikan 'Contract of Service" demi masa depan yang lebih terjamin,” tegasnya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya di Chendering, di sini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD