JOHOR BAHRU, 16 Ogos – Sebanyak 2,000 kilogram atau dua tan botol plastik berjaya dikumpulkan stesen radio JOHORfm sempena program Jelajah Aspirasi Malaysia 2025.
Penerbit program, Taufik Salimin berkata kutipan tersebut hasil sumbangan kakitangan serta pendengar JOHORfm sejak program berkenaan dilancarkan bulan lalu.
“Setiap negeri perlu mengumpulkan sekurang-kurangnya 10 ribu kilogram botol plastik terpakai. Alhamdulillah, kita telah memulakan usaha ini sejak bulan lalu dan pencapaian setakat ini adalah hasil sokongan kakitangan JOHORfm serta para pendengar,” katanya kepada pemberita, di sini.
Program yang mendapat kerjasama SWM Environment Sdn Bhd itu turut melibatkan aktiviti kutipan di sekolah, hotel dan pasar raya, dengan sasaran keseluruhan 10 ribu kilogram menjelang 25 Ogos ini.
Bagi memudahkan orang ramai, kaunter khas bertema “YOK! Hantar Botol Plastik Anda” akan dibuka di beberapa lokasi terpilih termasuk Dataran Bandaraya Johor Bahru, Sireh Park Iskandar Puteri dan Commune Mall, Kulai.