fb fb fb fb fb

Johor teraju pelaburan negara, hasil kerjasama erat persekutuan-negeri

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada Program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor. / Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 13 September - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengakui kejayaan Johor muncul sebagai peneraju pelaburan negara, hasil kerjasama erat kerajaan persekutuan dan negeri.

Beliau menegaskan, setiap pelaburan besar yang diraih Johor perlu diterjemahkan dalam bentuk manfaat kepada rakyat, khususnya dari segi peningkatan pendapatan.

Menurut Datuk Seri Anwar, kejayaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) turut diyakini menjadi pemangkin kepada prestasi pelaburan cemerlang negeri itu.

“Johor, sekarang nombor satu pelaburan, tetapi saya sebutkan tadi depan Menteri Besar, itu belum cukup. Ia hanya cukup bila pelaburan masuk dan rakyat dapat kerja.

Bila rakyat dapat kerja, syarikat untung tinggi, gaji mesti naik. Ini untung ratus-ratus juta, gaji juga mesti naik,” ketika menyampaikan amanat pada Program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor, di sini, hari ini.

Bagi suku pertama 2025, Johor mencatatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM30.1 bilion, tertinggi di Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju utama pelaburan negara.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI