fb fb fb fb fb

PM beri amaran tidak 'pilih bulu' soal salah guna kuasa termasuk Jemaah Menteri

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

JOHOR BAHRU, 13 September – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan berjaya menghentikan budaya pemimpin menggunakan kuasa untuk mencuri dan merompak harta rakyat.

Beliau berkata, meskipun terdapat kes lama melibatkan penyalahgunaan kuasa, yang penting semua pihak kini tertakluk kepada proses undang-undang serta tata kelola yang betul.

“Apa yang kita rasa boleh dibanggakan ialah kejayaan menghentikan budaya orang berkuasa mencuri harta rakyat. Kes lama memang ada, tetapi semua ikut tata proses,”  kata beliau ketika menyampaikan amanat pada Program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan tiada sesiapa pun terkecuali daripada siasatan termasuk individu berpengaruh atau ahli Jemaah Menteri sendiri.

“Orang yang kecam orang dapat tanah, semua kita bawa siasatan. Tiada had. Saya tidak peduli siapa, termasuk ahli Jemaah Menteri,” katanya.

Menurutnya, tiada negara akan selamat jika rakyat terus memilih pemimpin yang menyalahgunakan kuasa untuk mengaut kekayaan peribadi, termasuk mengkayakan isteri, anak serta keluarga.

“Sebab mana-mana negara tidak boleh selamat kalau kita angkat orang yang menggunakan kuasa dia, kaya diri, isteri, anak serta keluarga. Macam mana nak jaga aci,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN