fb fb fb fb fb

Johor klasifikasikan kematian dua anggota polis sebagai Fi Sabilillah

Foto RTM

JOHOR BHARU, 20 Mei - Jawatankuasa Fatwa negeri Johor mengklasifikasikan kematian dua anggota polis yang terkorban di dalam kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, Jumaat lalu sebagai Fi Sabilillah iaitu kematian di jalan Allah dalam menjaga dan mempertahankan keselamatan.
 
Jenazah kedua-dua Allahyarham juga diputuskan sebagai Syahid Akhirat, iaitu pengurusan jenazah disempurnakan dengan lengkap.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid dalam kenyataan berkata, keputusan dibuat selepas mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa yang bersidang pada 17 Mei lalu.
 
Manakala dari sudut pengurusan jenazah suspek pula, Jawatankuasa memutuskan agar ia dimandikan, dikafan serta disolatkan di hospital atau rumah keluarga suspek sahaja.

Jenazah suspek tidak dibenarkan dibawa ke mana-mana masjid atau surau untuk diuruskan, sementara pengebumian di tanah perkuburan ditetapkan selain kuburnya diletakkan berjauhan dari liang lahad kubur yang lain.
 
Keputusan itu adalah sebagai peringatan kepada orang ramai supaya tidak terlibat atau melakukan perkara yang sama seperti dilakukan suspek.
 
Ia juga tanda menzahirkan kebencian terhadap perbuatan suspek yang membunuh anggota polis.
 
Jawatankuasa Fatwa turut memohon polis supaya meletakkan anggota sepanjang kerja pengurusan jenazah suspek hingga selesai bagi mengelak gangguan atau provokasi.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD