BALI, 20 Mei - Malaysia sedang meneroka kaedah untuk mengoptimumkan kawasan tadahan air bagi menjana tenaga solar tanpa mempunyai sebarang kesan buruk kepada alam sekitar dan air seperti di Cirata, Indonesia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, justeru satu rangka kerja bagi menghadapi cabaran berkenaan menjadi fokus utama dalam Malaysia National Adaptation Plan (NAP). Ia berikutan negara sering terdedah dengan cabaran berkaitan air seperti banjir, kemarau dan pencemaran air.
Sebagai persediaan musim tengkujuh katanya, Malaysia telah menyediakan sistem amaran awal banjir yang akan berlaku dalam tempoh lebih dua hari kepada agensi berkaitan.
"Kerajaan sedang menaik taraf polisi nasional berkenaan pengurangan risiko bencana untuk memperkuatkan lagi tadbir urus, kewangan dan perkongsian maklumat untuk memastikan usaha yang berterusan bagi membina kesedaran dan kapasiti komuniti untuk memberikan bantuan awal ketika bencana dan membina tanggungjawab bersama", kata Fadillah demikian semasa menghadiri Majlis Mesyuarat Kepimpinan Tertinggi, diketuai Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo, di sini.
Sempena forum tersebut, Fadillah turut berharap dapat menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungin untuk berkongsi pengalaman serta kerjasama terbaharu pada masa akan datang berkaitan inovasi dan strategi terhadap pengurusan air yang mampan.
Terdahulu beliau menghadiri Majlis Perasmian Forum Air Dunia (WWF) Kali Ke-10 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali (BICC).