fb fb fb fb fb

Anwar terkesan pemergian Presiden Iran Ebrahim Raisi

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 20 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terkesan dan sedih ketika menerima perkhabaran melibatkan Presiden Iran Ebrahim Raisi dan delegasi kepemimpinan Iran, termasuk Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian dalam insiden pesawat di wilayah utara Iran .

Anwar dalam satu hantaran di Facebook berkata, beliau sempat bertemu dengan Allahyarham Presiden Raisi di New York, Amerika Syarikat pada tahun lalu.

"Saya sempat ketemu Almarhum Presiden Raisi di New York, Amerika Syarikat pada tahun lalu dan telah menekuni pelbagai perkara yang dekat dengan kedua-dua negara.

"Beliau menonjolkan sikap yang terbuka tetapi tegas terutamanya dalam soal pembangunan rakyatnya serta punyai keupayaan yang tinggi dalam memelihara Iran sebagai negara dan tamadun yang kuat," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Anwar selesa bekerjasama dengan Allahyarham dan tragedi itu disifatkan menyedihkan dan meninggalkan bekas yang mendalam terutamanya dalam perjuangan membela warga Palestin.

"Malaysia lantas berduka atas tragedi ini dan bersedih atas malapetaka yang menimpa negara sahabat Iran.

"Doa dan solidariti buat rakyat Republik Islam Iran, dan semoga Allah SWT mengampuni dosa mereka dan memberi tempat yang istimewa di sisiNya," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan semalam, dan pasukan penyelamat telah mengumumkan bahawa Presiden Raisi, Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian dan delegasi ditemukan maut dalam nahas itu.

Artikel berkaitan:

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI