fb fb fb fb fb

Johor FM buka tirai Konsert Suara 34

Pengarah Penyiaran Negeri Johor, Azman Hashim

KUALA LUMPUR, 14 Mei- Johor FM mencipta sejarah tersendiri apabila terpilih sebagai lokasi pertama bagi penganjuran siri jelajah Konsert Suara 34 pada 17 Mei ini.

Menurut Pengarah Penyiaran Negeri Johor, Azman Hashim, pemilihan Zon Selatan sebagai lokasi pembukaan merupakan satu cabaran besar kepada penganjur dari zon itu yang terdiri daripada Johor FM, Melaka FM dan Negeri FM.

"Sebagai lokasi permulaan, kami sedar bahawa konsert ini akan menjadi penanda aras untuk keseluruhan siri jelajah. Jadi, kami berusaha memastikan mutu penganjuran yang tinggi bagi memenuhi cita rasa pendengar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Penganjuran konsert tersebut akan mengetengahkan artis tempatan dari setiap zon sebagai salah satu usaha mengangkat bakat negeri ke peringkat nasional.

Konsert Suara 34 yang akan diadakan di Auditorium Permata Sari, RTM Johor itu bakal menampilkan Amy Search, Siti Nordiana, Ramlah Ram, Waris, Zamani dan Nikki Palikat.

Konsert itu merupakan kesinambungan daripada program Suara 34 yang bersiaran setiap Jumaat hingga Ahad secara langsung di semua stesen terlibat.

Siri jelajah akan diteruskan ke Zon Sabah pada 24 Mei di Auditorium JKKN Kota Kinabalu diikuti Zon Utara di Auditorium RTM Perak (14 Jun) kemudian Zon Timur di Auditorium RTM Pahang(21 Jun) dan Zon Sarawak di Detar Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS) pada 28 Jun.

Siri jelajah tersebut akan berakhir di Zon Tengah iaitu di Angkasapuri Kota Media pada 5 Julai depan.

Ia merupakan inisiatif terbaharu Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam memperkukuh jenama serta jangkauan 34 stesen radio bawah Jabatan Penyiaran di seluruh negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI