(Zhao Leji mengadakan mesyuarat delegasi dua hala dengan Tan Sri Johari Abdul
di Bangunan Parlimen pada 18 Mei 2023/Foto fail BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 18 September –Hubungan ASEAN–China akan terus diperkukuh dalam kerangka legislatif, menerusi lawatan rasmi Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul ke China dari 23 sehingga 28 September ini.
Dalam satu kenyataan parlimen, lawatan itu dilakukan atas jemputan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China Ke-14, Zhao Leji.
“Pada 18 Mei 2023, Zhao Leji telah mengadakan pertemuan dua hala dengan YB Tan Sri Johari bin Abdul di Parlimen Malaysia. Buat pertama kali dalam 18 tahun, Malaysia merupakan negara Asia pertama yang menerima lawatan rasmi oleh Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan Republik Rakyat China Zhao Leji,” menurut kenyataan tersebut.
Lawatan rasmi itu juga bertujuan memperkukuh kerjasama pelaburan, perdagangan dan ekonomi selain mengadakan dialog diplomatik antara ASEAN dan China mengenai cabaran serantau dan antarabangsa.
“Ia juga sebagai pertukaran budaya untuk memperdalam hubungan antara rakyat dan persefahaman dua negara,” jelas kenyataan itu.
Antara acara utama di China, Johari dijadual mengadakan pertemuan bersama para pemimpin China termasuk Presiden China, Xi Jinping, Perdana Menteri Li Qiang dan Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan Republik China (NPC) ke-14 Zhao Leji, juga Pengerusi Chinese People's Political Consultative Conference (CPPCC), Wang Huning.
Fokus perbincangan nanti termasuk berkaitan kelestarian alam; merangkumi perbincangan isu-isu berkepentingan antara China dan Malaysia termasuk tenaga boleh baharu, keterjaminan makanan dan kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence.
Dalam siri lawatan itu juga, Johari akan mengadakan lawatan ke syarikat-syarikat besar China termasuk syarikat berkaitan kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu dan keterjaminan makanan bagi memahami amalan terbaik dalam aspek pengoperasian dan teknologi.
“Ini akan memudahkan penerokaaan peluang pertukaran teknologi antara syarikat-syarikat terlibat dengan perniagaan-perniagaan di Malaysia,” menurut kenyataan tersebut.
(Zhao Leji (kanan) bersalaman bersama Tan Sri Johari Abdul selepas menghadiri mesyuarat
delegasi dua hala di Bangunan Parlimen pada 18 Mei 2023/Foto fail BERNAMA)
Lawatan rasmi itu juga diadakan bersempena sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik China-Malaysia menjelang 2024.
Speaker Dewan Rakyat itu juga dijadual menyampaikan syarahan umum bertajuk “ASEAN dalam Abad Asia” kepada penuntut di Universiti Tsinghua; antara universiti terkemuka di Asia Pasifik dan ke-9 dalam dunia selepas Universiti Yale, Amerika Syarikat.
Pada 23 September pula, Johari dijadual menghadiri Sukan Asia Hangzhou 2023 yang menampilkan seramai 289 atlet dari Malaysia bertanding.
Untuk rekod, Malaysia dan China sudah mempunyai hubungan utuh dan telah menjalinkan kerjasama dua hala yang baik dalam pelbagai sektor penting, termasuk ekonomi, pelaburan, perdagangan dan diplomasi budaya.
Sehubungan dengan itu, Parlimen Malaysia juga bersedia untuk memperkembangkan jalinan kerjasama yang baik bersama Kongres Rakyat Kebangsaan Republik Rakyat China dalam menyumbang kepada kesinambungan kerjasama saling menguntungkan antara dua negara.