fb fb fb fb fb

JKN Sabah mohon maaf, kelemahan komunikasi punca doktor silap bagi ubat kepada pesakit

KOTA KINABALU, 20 Ogos- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah hari ini tampil membuat permohonan maaf berhubung insiden pesakit diberi ubat yang salah oleh pegawai perubatan semasa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Felda Sahabat, Lahad Datu.

Pengarahnya, Datuk Dr Rose Nani Mudin dalam satu kenyataan berkata berdasarkan siasatan pegawai perubatan terbabit telah melihat buku rawatan yang dibawa oleh pesakit ke Klinik Kesihatan Felda Sahabat, di mana pesakit mempunyai rekod diberi ubat kencing manis sebelum ini.

"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengesyaki buku rawatan yang dibawa pesakit telah bercampur dengan buku rawatan isteri kepada pesakit berkenaan dan telah menimbulkan kekeliruan kepada Pegawai Perubatan tersebut yang meneruskan pemberian ubat kencing manis kepada pesakit.

"Mengikut rekod pesakit mempunyai sejarah perubatan penyakit darah tinggi dan pembengkakan kelenjar prostat," katanya.

Tambah Dr. Rose, JKN Sabah mendapati terdapat kelemahan komunikasi antara pegawai perubatan yang memberi rawatan dengan pesakit berkenaan.

"Sepatutnya pegawai perubatan itu memberikan penerangan kepada pesakit dan keluarga pesakit tentang status penyakit yang dihidapi pesakit dan jenis ubat yang diberikan. Sekiranya penerangan dilaksanakan sudah tentu kekeliruan dapat dielakkan".

Sehubungan itu katanya, JKN Sabah akan memastikan pegawai-pegawai perubatan yang bertugas di Sabah, terutama di kawasan pendalaman mendapat latihan merawat pesakit termasuk komunikasi berkesan secara berkala.

Pihak JKN Sabah ujarnya prihatin mengenai isu tersebut dan memohon maaf kepada keluarga pesakit diatas kesulitan yang dihadapi.


(Pengarah JKN Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin)

Media Baharu