fb fb fb fb fb

JKM siap sedia hadapi situasi banjir

TERENGGANU, 29 September- Jabatan Kebajikan Masyarakat telah bersedia sepenuhnya terutama berkaitan penyediaan pusat pemindahan sementara (PPS) dan bantuan kepada mangsa bagi menghadapi situasi banjir yang dijangka berlaku pada hujung tahun ini.

Kesiapsiagaan kini mencapai tahap hampir 100 peratus.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM9.16 juta berbanding RM7.3 juta  tahun lalu bagi menghadapi banjir tahun ini.


(Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff)

Ketika ini sebanyak 6,010 PPS telah dikenal pasti yang boleh menempatkan sehingga 1.6 juta penduduk terjejas disamping 140 stor JKM negeri dan daerah.

JKM turut bersedia bersama pegawai psikologi dan kaunselor bagi membantu menangani krisis emosi di kalangan mangsa dan petugas.

"Jumlah keseluruhan pegawai yang akan bertugas iaitu 16,239 dan alhamdulillah kali ini kita akan ada juga Skuad Waja melalui pejabat Jabatan Pembangunan Wanita yang mana sudah berdaftar dengan kita sekarang ini 326,500 orang, sebahagian daripada mereka sudah mendapat kursus dan latihan dan antara peranan juga untuk menangani isu-isu psikososial dan apa-apa isu yang berkaitan dengan mangsa-mangsa di tempat PPS yang mereka juga akan bekerjasama membantu menangani isu yang berkaitan," katanya di sini.

Dalam masa sama beliau turut menasihatkan orang ramai agar peka dan beringat tentang keselamatan anak-anak bagi mengelak sebarang aktiviti jenayah seperti penculikan kanak-kanak yang menjadi kebimbangan ibu bapa mutakhir ini.

"Jangan biarkan mereka bersendirian mesti ada dari sudut kawalan keselamatan pihak sekolah, pihak keselamatan juga dan disamping ibu bapa memberi perhatian serius pada anak-anak dan kepada anak-anak muda saya nasihatkan supaya jangan pandang mudah pada keselamatan dalam suasana yang malang tidak berbau jadi saya harapkan supaya sama-sama kita menjaga keselamatan diri dan keluarga begitu juga jiran tetangga dan ahli komuniti masyarakat juga harus memainkan peranan," katanya selepas merasmikan Program Hari Sayyidatina Aishah 2022 dan Pelancaran Dasar Wanita Terengganu di Kuala Nerus.

Media Baharu