fb fb fb fb fb

Penjana Komuniti@SME Bank 3.0, 249 usahawan B40 dibantu

KUALA LUMPUR, 29 September- SME Bank memperuntukkan RM1.7 juta untuk meneruskan program Penjana Komuniti@SME Bank 3.0 khusus buat 249 usahawan B40 di Lembah Klang.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar berkata melihat pada keberkesanan siri kedua program berkenaan, kementeriannya telah memberikan dana bernilai RM3 juta tahun lalu.

"Ada 137 orang peserta yang merekodkan pendapatan perniagaan keseluruhannya sebanyak RM4.03 juta daripada 137 orang yang mereka pantau sebelum ini. 73.5% ini melebihi sasaran yang dilakukan SME bank," kata Noh kepada RTM selepas merasmikan Program Penjana Komuniti@SME Bank 3.0 di ibu negara.

(Menteri KUSKOP, Tan Sri Noh Omar)

Menurutnya, menerusi program siri kedua itu, kesemua peserta telah mempunyai laman web perniagaan sendiri dan 178 daripada mereka telah mengadaptasi sistem perakaunan digital dalam pengurusan perniagaan masing-masing.

Program Penjana Komuniti@SME Bank 3.0 telah berjaya mengumpul dana berjumlah RM400,406 dari 35 buah syarikat serta sumbangan dari kakitangan SME Bank itu sendiri.

Dengan jumlah sumbangan tersebut, bank berkenaan berjaya menambah 49 peserta menjadikan jumlah penyertaan 249 orang berbanding 200 peserta yang disasarkan.

 

Media Baharu