SEREMBAN, 25 September- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula awal November ini dengan mengenal pasti sebanyak 239 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri.
Pengarahnya, Muhammad Yusry Che Dah berkata, jumlah PPS tersebut mampu menampung sehingga 68,933 penduduk terjejas dalam satu masa khususnya di lokasi kerap berlaku banjir.
"Apabila penduduk terjejas (banjir) tiba di PPS, kita akan menyediakan makanan serta kit keperluan asas.
"Selain itu, aktiviti bimbingan dan kaunseling juga diadakan bersama mereka termasuk kanak-kanak bagi mengurangkan tekanan emosi sepanjang berada di pusat pemindahan," katanya ketika ditemui di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad di sini hari ini.
Beliau menambah, bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan, latihan simulasi bencana melibatkan pelbagai agensi akan diadakan pada pertengahan Oktober ini.
Muhammad Yusry optimis persediaan rapi yang dilaksanakan akan memastikan sebarang cabaran ketika bencana dapat ditangani dengan lebih tersusun demi kebajikan penduduk terjejas.