fb fb fb fb fb

Trump iktiraf peranan Malaysia sebagai pemudah cara keamanan ASEAN

Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 25 September– Malaysia menerima pengiktirafan antarabangsa selepas kejayaan sebagai pemudah cara gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand diiktiraf sendiri Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Perkara itu disampaikan dalam perbualan telefon antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan Trump hari ini.

Menurut Datuk Seri Anwar, Trump menyifatkan Malaysia berjaya membuktikan kewibawaan ASEAN dalam menyelesaikan konflik serantau.

"Saya tegaskan komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk terus memainkan peranan proaktif dalam memastikan keamanan serantau, khususnya terkait isu Kemboja–Thailand.

Saya turut sampaikan penghargaan kepada beliau atas peranan yang dimainkan oleh AS dalam memastikan gencatan senjata tersebut tercapai," katanya menerusi hantaran di laman media sosial rasmi beliau.

Perdana Menteri turut mengalu-alukan kehadiran Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan.

Acara itu dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

Perbualan telefon itu berlangsung ketika Datuk Seri Anwar menerima kunjungan hormat Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, di Putrajaya sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57.

Pertemuan itu memberi ruang untuk bertukar pandangan mengenai hubungan strategik Malaysia–AS serta ASEAN, khususnya dalam perdagangan.

“Saya tegaskan kepentingan Malaysia dan Amerika Syarikat memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang sedang dirundingkan.

Perjanjian ini bakal mendorong ketentuan arah dasar serta perancangan komuniti perniagaan kedua-dua negara,” katanya.

Datuk Seri Anwar menambah, Malaysia sebagai ekonomi terbuka sentiasa menjalin hubungan baik dengan semua rakan dagang demi merancakkan pertumbuhan ekonomi domestik yang lebih mapan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN