fb fb fb fb fb

Dakwaan Malaysia jadi pusat operasi Hamas tidak berasas, mustahil

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ditemui media selepas lawatan kerja ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Malaysia France Institute (MFI) di sini, hari ini / Foto BERNAMA

BANGI, 25 September- Dakwaan bahawa Malaysia menjadi lokasi pusat operasi dan pangkalan Hamas disifatkan tidak berasas serta mustahil.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, negara memiliki pasukan khas, termasuk unit Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang sentiasa memantau aspek keselamatan.

“Memang tidak ada. Tidak ada pangkalan untuk latihan, apatah lagi dijadikan sebagai pangkalan untuk Hamas.

Kita ketahui bahawa ini adalah tuduhan yang sudah dinafikan Ketua Polis Negara. Kita memang mempunyai unit pemantauan keganasan bawah PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Malaysia France Institute (MFI) di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, turut menafikan tuduhan itu.

Ia susulan kenyataan bekas penganalisis kewangan keganasan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Jonathan Schanzer, yang mendakwa Malaysia sudah lama menjadi pusat operasi Hamas.

Dakwaan itu muncul selepas pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengecam kekejaman Israel.

Beliau turut menggesa hubungan dengan negara itu diputuskan ekoran kemusnahan berterusan di Gaza dan rampasan di Tebing Barat.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN