fb fb fb fb fb

Kelewatan WCE Seksyen 3 jejas jajaran lain – AMH

Foto fail

SHAH ALAM, 25 September -Semua pihak bertanggungjawab perlu memberi perhatian segera terhadap isu kelewatan menyiapkan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) khususnya di Seksyen 3 (Kampung Jawa).

Setiausaha Eksekutif Persatuan Haulier Malaysia (AMH) Mohamad Azuan Masud dalam satu kenyataan berkata, kelewatan itu memberi kesan langsung kepada penyambungan terhadap jajaran lain seperti Seksyen 2 dan 4.

Katanya, ketidakpastian penyelesaian isu pengambilan tanah di Kampung Jawa bukan sahaja menangguhkan pembukaan Seksyen 3, bahkan turut menjejaskan fungsi keseluruhan Lebuhraya WCE sebagai laluan alternatif utama ke Pelabuhan Klang.

"WCE direka bentuk sebagai rangkaian menyeluruh. Jika salah satu bahagian tergendala, keseluruhan sistem tidak dapat berfungsi dengan baik. Kesan kelewatan ini tidak lagi terhad kepada satu seksyen,
sebaliknya merencatkan aliran logistik dari utara ke selatan, termasuk jadual penghantaran ke Pelabuhan Klang," katanya menerusi kenyataan itu.

Kelewatan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada operasi harian ahli persatuan, malah turut mewujudkan apa yang disifatkan sebagai "kos berganda" kepada pemain industri logistik.

"Setiap hari, ribuan kenderaan muatan berat termasuk lori kontena masih terpaksa menggunakan laluan alternatif seperti KESAS dan Lebuhraya Persekutuan. Bukan sahaja menambahkan kesesakan, malah
meningkatkan risiko keselamatan, khususnya apabila kenderaan berat terpaksa berkongsi laluan sesak dengan pengguna biasa.

"Akibatnya, masa perjalanan menjadi lebih panjang, kos bahan api melonjak, dan risiko kemalangan turut meningkat. Semua ini akhirnya menekan lagi kos logistik yang akan memberi kesan rantaian kepada harga barangan keperluan rakyat," jelas beliau.

Dalam pada itu, AMH berpandangan isu tersebut boleh menimbulkan kebimbangan terhadap keyakinan pelabur dan pihak industri terhadap kemampuan negara menyiapkan projek infrastruktur mengikut jadual.

"Apabila tarikh penyelesaian diumumkan namun masih belum tercapai, ia boleh menimbulkan persepsi kurang meyakinkan dalam kalangan pelabur antarabangsa untuk melabur pada masa hadapan," tegasnya.

Pihak berkuasa yang berwajib juga diseru supaya mempertimbangkan tindakan sewajarnya berpandukan undang-undang sedia ada, sekali gus memastikan kepentingan awam dan ekonomi negara tidak terjejas.

TETITIA YUSOFF