fb fb fb fb fb

JKM adakan sesi kaunseling bersama remaja dakwa jadi mangsa gangguan seksual bapa

(Datuk Seri Rina Harun melancarkan Pekerti 2022-2025 di putrajaya)

PUTRAJAYA, 8 September- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah mengadakan sesi kaunseling, Isnin lalu, bersama pelakon remaja yang mendakwa dicabul bapa kandungnya.

Jelas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, beberapa tindakan susulan juga turut diambil bagi membantu remaja berkenaan.

"Pihak JKM telah mengadakan pertemuan dan tindakan susulan daripada segi emosi remaja berkenaan juga diberi perhatian,"katanya pada sidang media selepas melancarkan Pekerti 2022-2025 di sini.

Dilaporkan bapa pelakon berkenaan telah ditahan polis pada Selasa, membabitkan dakwaan serangan seksual, memiliki bahan lucah dan pengabaian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencabul, Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan mengabaikan kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah.

(FOTO HIASAN)

Dalam pada itu, mengulas isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak, Rina berkata semua pihak perlu berganding bahu dengan memberikan cadangan kepada pihaknya, mengenai langkah terbaik bagi menangani perlakuan tidak bermoral itu.

“KPWKM sentiasa mengalu-alukan cadangan dan membuka ruang kerjasama dengan pelbagai pihak,” katanya.

KPWKM ketika ini menjalinkan kerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, CyberSecurity Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dalam menangani isu berkenaan.

Media Baharu