fb fb fb fb fb

JKDM rampas 1,362.27 liter minuman keras tidak berkastam

Penolong Ketua Pengarah Kastam JKDM Zon Tengah, Norlela Ismail

SEPANG, 1 April- Sejumlah 1,362.27 liter minuman keras pelbagai jenis tidak berkastam telah berjaya ditemukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), di bilik rahsia sebuah premis yang terletak di Selangor, 14 Mac yang lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam JKDM Zon Tengah, Norlela Ismail berkata hasil pemeriksaan mendapati mendapati barangan kes ada dilekatkan stem cukai (tax stamp) yang disyaki palsu.

"Pasukan serbuan juga telah menemui sejumlah stem cukai palsu yang belum digunakan yang akan digunakan oleh botol-botol keras terbabit."

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 1(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74 1(a) Akta Eksais 1976," kata Norlela kepada pemberita dalam sidang media Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit III di Kompleks Maskargo.

Selain itu, nilai barangan yang disita dianggarkan berjumlah RM69,400 dan membabitkan duti dan cukai sebanyak RM86,200 manakala seorang lelaki warganegara Malaysia juga turut ditangkap untuk siasatan lanjut.

Dalam kes lain, JKDM menerusi Operasi Bersepadu bersama Zon Tengah Unit III merampas 82 gelung besi seberat 323,278 kilogram yang bernilai lebih RM2.2 juta termasuk duti import.

Menurut pihak kastam, gegelung besi itu juga dipercayai diperolehi dari negara Asia Timur.

Dalam pada itu, JKDM turut merampas sebuah kenderaan mewah jenis Range Rover SV Auto pada Isnin lalu di Kompleks Maskargo, Free Commercial Zone,Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Norlela Ismail berkata pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut dipercayai diimport tanpa permit import (AP) daripada Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI).

Kenderaan tersebut merupakan barangan larangan import bersyarat kecuali dengan satu lesen atau permit sebagaimana yang ditetapkan di Bahagian 1, Jadual Kedua, Butiran Nombor 3(2), Perintah Kastam (Larangan mengenai import) 2023.

"Nilai dagangan adalah dianggarkan sebanyak RM1,097,300 dengan nilai cukai dan duit dianggarkan sebanyak RM1,884,000. Dagangan telah disita untuk siasatan lanjut," tambah Norlela.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport kenderaaan motor pasang siap tanpa permit.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM