fb fb fb fb fb

JKDM Perlis gagalkan 7 kes seludup, rampasan bernilai lebih RM2.4 juta

Ismail Hashim menyampaikan sidang media kes penyeludupan dan rampasan di Kangar hari ini

PADANG BESAR, 25 Jun- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis mematahkan tujuh kes melibatkan pelbagai komoditi penyeludupan dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan melebihi RM2.4 juta.

Pengarah JKDM Perlis, Ismail Hashim berkata, rampasan terbesar melibatkan dadah jenis ganja seberat 22.855 kilogram yang dianggarkan bernilai RM2.285 juta.

Menurutnya, dadah berkenaan ditemui di dalam sebuah kenderaan yang ditinggalkan di kawasan bebas cukai antara pintu sempadan Malaysia-Thailand.

“Hasil pemeriksaan telah menemui beberapa bungkusan plastik hitam di bawah dan dalam kenderaan serta dua buah beg galas di tempat duduk penumpang belakang. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 40 bungkusan plastik lut sinar kedap udara berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja dengan berat keseluruhan 22.855 kilogram bernilai RM2,285,500,” katanya.

Turut dirampas dalam operasi berasingan, tiga kes penyeludupan daun ketum melibatkan jumlah keseluruhan 1.975 tan metrik dengan nilai melebihi RM108,000.

Tambah beliau, bagi kedua-dua kes dadah dan daun ketum, sindiket dikesan menggunakan modus operandi ‘tinggal dan ambil’, iaitu meninggalkan barang terlarang di dalam kenderaan sebelum diambil oleh rakan sindiket lain.

Sementara itu, dua kes melibatkan kenderaan tanpa permit import turut dikesan, membabitkan dua buah kereta dengan nilai anggaran termasuk cukai berjumlah RM130,000.

Dalam tindakan berasingan, sebanyak 3,040 batang rokok tidak bercukai turut dirampas di sekitar kawasan Padang Besar dengan nilai lebih RM2,000.

Kesemua kes disiasat mengikut undang-undang sedia ada dan tindakan susulan sedang dijalankan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE