PUTRAJAYA, 25 Jun– Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memfailkan permohonan bagi melucut hak ke atas Menara Ilham, sebuah bangunan ikonik setinggi 60 tingkat yang dikaitkan dengan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata bangunan berkenaan merupakan antara aset terbaharu dalam siasatan pelucutan harta membabitkan Allahyarham Tun Daim, isterinya Toh Puan Na’imah Abdul Khalid serta beberapa individu lain yang dipercayai bertindak sebagai proksi dalam negara.
“Kita akan melaksanakan proses pelucutan hak hari ini. Saya tegaskan, proses ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana melibatkan banyak aspek, termasuk dokumen berkaitan Menara Ilham yang amat tebal,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini.
Tambah beliau, SPRM akan memfailkan beberapa lagi permohonan bagi melucut hak harta-harta yang dikaitkan dengan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, isterinya Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan pihak-pihak berkaitan.
Dalam perkembangan berkaitan, Azam memaklumkan SPRM telah memperoleh perintah larangan terhadap aset-aset Daim dan pihak berkaitan di United Kingdom (UK) yang dianggarkan bernilai RM700 juta.
Susulan itu, pihak berkuasa UK telah dimaklumkan dan bersetuju untuk memfailkan permohonan perintah larangan di mahkamah negara tersebut, berdasarkan permohonan yang dikemukakan oleh Malaysia.
Menara Ilham telah disita semula oleh SPRM awal bulan ini selepas mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya.