fb fb fb fb fb

Presiden Kyrgyz teruskan lawatan rasmi ke Parlimen

Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Zhaparov, mengadakan kunjungan hormat ke Parlimen Malaysia/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Zhaparov, meneruskan lawatan rasmi ke Malaysia hari ini dengan kunjungan hormat ke Parlimen Malaysia, selepas menghadiri beberapa acara utama bersama kepimpinan negara di Putrajaya.

Terdahulu, Presiden Zhaparov diberi sambutan rasmi di Perdana Putra, diikuti mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta pemeteraian 10 dokumen kerjasama melibatkan bidang pendidikan, kesihatan, perdagangan, transformasi digital dan lain-lain.

Beliau kemudiannya diraikan dalam majlis makan tengah hari rasmi di Kompleks Seri Perdana, yang turut dihadiri barisan menteri Kabinet dan delegasi dari Kyrgyzstan.

Presiden Zhaparov tiba di Blok Utama Parlimen, kira-kira 1.20 petang dan disambut oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul.

Kunjungan hormat Presiden Republik Kyrgyzstan Sadyr Zhaparov (tengah) di Bangunan Parlimen

Presiden Zhaparov turut dibawa meninjau kedua-dua dewan di Parlimen Malaysia Dewan Negara oleh Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dan Dewan Rakyat oleh Tan Sri Dr. Johari Abdul, yang mencerminkan penghormatan terhadap peranan institusi legislatif negara.

Lawatan ke Parlimen itu memperkukuh hubungan antara institusi perundangan kedua-dua negara, melengkapi kerjasama diplomatik, ekonomi dan budaya yang sedia terjalin.

Presiden Zhaparov turut dijadual meneruskan lawatan petang ini dengan kunjungan ke Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Lawatan sulung beliau ke Malaysia itu dilihat sebagai manifestasi komitmen tinggi Malaysia dan Kyrgyzstan dalam memperluas hubungan strategik merentasi pelbagai bidang.

ROSLINA BINTI DIN