fb fb fb fb fb

JKDM perkenal teknologi e-seal, banteras penyeludupan

PUTRAJAYA, 29 Mei- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memperkenal teknologi e-seal menggantikan sil timah dalam masa terdekat, bagi memantau pergerakan logistik kontena dan lori.

Langkah itu bertujuan membendung aktiviti penyeludupan dan meningkatkan keselamatan kargo.

Setakat ini, kastam sedang mengkaji dan menguji keberkesanan e-seal sebelum penggunaannya di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan optimis teknologi tempatan baharu itu juga akan meningkatkan 20 peratus hasil negara.

"Keupayaan e-seal kelihatan berkesan, kalau timah diguna berpuluh tahun siapa tahu dipotong dan disi dengan dadah...jadi teknologi terkini ini kita harap mengurangkan penyeludupan dan dapat menambah hasil," katanya.

(Datuk Seri Ahmad Maslan)

Beliau berkata demikian pada sidang media Lawatan Kerja Rasmi di Ibu Pejabat Kastam, Putrajaya, di sini hari ini.

Setakat ini, teknologi e-seal digunapakai di negara Afrika Timur meliputi Uganda, Kenya dan Burundi.

Rampas dadah bernilai RM81.39 juta

Dalam pada itu, Ahmad Maslan berkata JKDM berjaya membuat rampasan dadah bernilai RM81.39 juta bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Jenis rampasan dadah terbesar adalah Cannabis, sebanyak 1,307 kilogram dan Ecstasy berjumlah 1,071 kilogram.

"Jabatan Kastam Diraja Malaysia tidak akan berkompromi berkaitan aktiviti penyeludupan di negara ini.

"Salah satu pemungut hasil negara, penguatkuasaan pintu masuk negara, kastam akan sentiasa menguatkuasakan undang-undang," tegasnya.

Selain itu, kastam juga berjaya menumpaskan cubaan menyeludup barang bersubsidi meliputi diesel, minyak masak dan gula.

Tahun lepas, nilai rampasan penyeludupan berjumlah lebih RM573,000.

Media Baharu