(Foto Polis Perak)
BAGAN DATUK, 29 Mei- Seramai 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia ditahan Polis Marin Perak semalam, pada jarak 1.1 batu nautika dari persisir Pantai Tanjung Beting Beras, di sini.
Ketua Polis negeri, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, maklumat awal berhubung kejadian diterima pihaknya daripada orang awam sekitar pukul 10.00 pagi berkaitan kehadiran sebuah bot mencurigakan dengan muatan warganegara asing.
Bertindak atas laporan, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya mengesan bot terbabit di perairan negara.
Menyedari kehadiran polis, pengemudi bot, 47, dan dua pembantunya masing-masing berusia 23 dan 24 tahun bertindak terjun ke laut untuk melarikan diri, namun berjaya ditangkap polis.
Pemeriksaan ke atas bot menemukan 22 lelaki dewasa, 11 wanita dan empat kanak-kanak berusia lingkungan satu hingga 55 tahun yang dipercayai dalam perjalanan ke Tanjung Balai Indonesia sebelum tersadai akibat kerosakan enjin.
Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kampung Acheh untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Kejayaan ini adalah hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dan agensi penguatkuasaan. Justeru, orang ramai diseru untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah agar tindakan pembanterasan dapat dipertingkatkan bagi memastikan negeri Perak aman dan selamat," katanya dalam kenyataan hari ini.
(Mohd Yusri Hassan Basri)