fb fb fb fb fb

JKDM kutip hasil RM61.35 bilion, pencapaian terbaik pascapandemik

Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin

PUTRAJAYA, 3 Disember- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mengutip hasil RM61.35 bilion setakat semalam. Ia melepasi sasaran kutipan hasil tahun ini yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan iaitu RM56 bilion.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, kutipan tersebut melepasi sasaran awal pada 18 Oktober lepas, iaitu RM61.17 bilion.

"Setakat 2 Disember, JKDM mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM61.35 bilion, iaitu lebihan sebanyak RM5.35 bilion bersamaan dengan 109.55 peratus berbanding unjuran asal RM56 bilion," katanya dalam sidang media di sini.

Setakat 30 November lepas, JKDM mencatat kutipan hasil sebanyak RM60.96 bilion berbanding RM51.95 bilion bagi tempoh sama tahun lepas. Ia menunjukkan prestasi peningkatan hasil sebanyak RM9.01 bilion bersamaan dengan 17.34 peratus.

Setakat semalam JKDM juga berjaya mematahkan cubaan menyeludup dan menyeleweng duti atau cukai kastam sebanyak 6,708 kes.

"Kes-kes ini melibatkan sitaan pelbagai jenis barangan termasuk cukai yang bernilai RM1.532 bilion. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 73.26 peratus, iaitu RM647.82 juta berbanding tempoh yang sama pada 2023," katanya lagi.

Lima komoditi utama yang mencatatkan nilai rampasan tertinggi bagi tempoh Januari hingga 2 Disember ialah kenderaan, dadah, rokok, minuman keras dan tekstil.

Pencapaian membanggakan itu merupakan hasil reformasi dalam jabatan termasuk digitalisasi dalam urusan perkastaman dan penggunaan mesin pengimbas dengan ciri kecerdasan buatan (AI).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI