fb fb fb fb fb

Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2025, terima sokongan majoriti ahli parlimen

Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah

KUALA LUMPUR, 3 Disember- Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2025 selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara.

Perkara itu diumumkan oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah ketika mempengerusikan sementara persidangan Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu diluluskan setelah melalui 12 hari tempoh perbahasan dan penggulungan peringkat jawatankuasa bermula 13 November lepas bagi setiap kementerian terlibat.

Terdahulu, RUU Perbekalan 2025 dibentangkan untuk bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Dewan Rakyat meluluskan Belanjawan 2025 di peringkat dasar pada 12 November lalu selepas dibahaskan selama lapan hari bermula 21 Oktober dan melalui sesi penggulungan selama empat hari mulai 6 November.

Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober lalu membabitkan peruntukan RM421 bilion iaitu belanjawan terbesar pernah dibentangkan dalam sejarah dan diselaraskan secara strategik dengan kerangka Ekonomi MADANI.

Selain RUU Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan, RUU sama bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut dibentang dan diluluskan hari ini.

Dalam pembentangan tersebut, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menekankan pelajar yang mempunyai masalah untuk meneruskan pengajian ke universiti awam, perlu berhubung dengan pihak kementerian.

"Kalau sekiranya ada permasalahan-permasalahan melibatkan keluarga yang mungkin daripada kalangan keluarga yang besar dan tentunya ada mereka tidak berkemampuan.

"Jadi, saya harap hal-hal sebegini dapat dimaklumkan kepada pihak Kementerian Pendidikan Tinggi," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat.

Dari aspek peruntukan biasiswa pula, KPT menawarkan biasiswa sebanyak RM220 juta tahun hadapan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI