PUCHONG, 3 Disember- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal memperluas pertandingan debat Rakan Muda ke seluruh negara pada tahun depan.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, pertandingan itu diadakan sebagai satu platform bagi mencungkil bakat golongan anak muda dalam meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis dan berkomunikasi.
"Bagi KBS pertandingan seperti ini merupakan platform yang sangat baik untuk kita mendengar suara orang muda, pelajar sekolah mempunyai peluang untuk membahas isu yang relevan dan semua isu dipilih yang sedang dibahaskan dalam media sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri pertandingan akhir Debat Rakan Muda, Debating Championship Selangor State Level 2024 di sini.
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke pertandingan itu.
Dalam pada itu Hannah turut mencadangkan pertandingan Debat Rakan Muda itu perlu dilaksanakan di pusat membeli belah bagi menarik lebih ramai golongan muda menyertai pertandingan berkenaan.
Selangor menjadi negeri pertama mengadakan pertandingan itu dengan tema 'Mengemudi Revolusi Digital dan Masa Depan Masyarakat'.
Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katolik Petaling Jaya muncul juara dengan membawa pulang trofi dan wang tunai bernilai RM1,500.
Manakala Sri KDU Kota Damansara mendapat tempat kedua membawa pulang trofi dan wang tunai, RM1,000.
Menerusi pertandingan itu, sebanyak 18 buah sekolah menengah dan swasta di Selangor mengambil bahagian melibatkan 90 peserta.
Pada pusingan awal, pertandingan berkenaan berlangsung secara dalam talian bermula 30 November hingga 1 Disember lalu manakala peringkat separuh akhir dan akhir berlangsung secara fizikal hari ini.