PUTRAJAYA, 3 Disember- Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menegaskan penggunaan peranti bagi pengesanan dan pengawasan bawah Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024, tidak terguna pakai untuk semua jenis penyakit berjangkit.
Sebaliknya, ia bersifat sementara serta dibuat berdasarkan penilaian risiko yang teliti dan berpandukan bukti serta amalan terbaik merangkumi faktor-faktor tertentu.
"Bukan semua penyakit berjangkit memerlukan pemakaian peranti untuk tujuan ini. Pemakaian peranti dan tempoh pemakaiannya bersifat sementara, serta dibuat berdasarkan penilaian risiko yang teliti dan amalan berasaskan bukti atau 'evidence-based practice'.
"...yang merangkumi faktor seperti cara penularan, kadar kebolehjangkitan dan tempoh inkubasi penyakit," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas berhubung Akta 342 di sini.
Pemakaian atau penggunaan peranti pengesanan atau pengawasan ke atas individu yang disyaki adalah terhad untuk memastikan kepatuhan arahan pengasingan, pemerhatian dan pengawasan agar penularan jangkitan dapat dicegah serta dikawal.
Dalam pada itu Pegawai Diberi Kuasa (PDK) tidak mempunyai kuasa untuk menangkap dan menahan individu yang disyaki dijangkiti penyakit berjangkit seperti didakwa segelintir pihak.
Dzulkefly berkata fungsi dan bidang tugas PDK hanya menahan pesakit untuk mendapatkan maklumat bagi pengesanan kes penyakit berjangkit seperti sejarah perjalanan dan kontak rapat.
"PDK juga boleh mengeluarkan arahan kepada mana-mana individu yang dijangkiti atau disyaki dijangkiti menjalani pengasingan dan pengawasan di mana-mana tempat yang difikirkan patut berdasarkan garis panduan ditetapkan, tidak terhad di stesen kuarantin atau hospital," katanya.
PDK juga tidak mempunyai kuasa penuh bawah Kanun Tatacara Jenayah namun mereka boleh memohon bantuan daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (JIM) atau pegawai keselamatan lain sekiranya perlu, terutamanya jika ada insiden PDK dikasari dan sebagainya.
PDK adalah merujuk kepada mana-mana pegawai kesihatan, pegawai kesihatan persekitaran atau pegawai dilantik oleh menteri bawah Seksyen 3 Akta 342.
Antara penyakit berjangkit yang tidak memerlukan pemakaian peranti pengawasan dan pengesanan ialah campak, denggi, mpox dan Ebola.
Sidang media khas berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli dan Penasihat Undang-undang Kementerian Kesihatan, Ilham Abd Kader.
Dalam perkembangan lain sebanyak 98 fasiliti kesihatan awam termasuk klinik kesihatan dan hospital terjejas akibat banjir di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Namun 50 daripada jumlah tersebut tidak dapat beroperasi disebabkan laluan terhalang dan dinaiki air, manakala sebanyak 48 buah lagi masih boleh beroperasi seperti biasa walaupun dinaiki air.
Selain itu, fasiliti berkaitan kesihatan lain yang terjejas termasuk empat pejabat kesihatan daerah, tiga buah hospital dan sebuah fasiliti kesihatan di pintu masuk antarabangsa.