KUALA LUMPUR, 3 DIsember- Banjir teruk yang berlaku di Kelantan dan Terengganu ketika ini berpunca daripada hujan lebat luar biasa yang berterusan lebih enam jam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kapasiti air yang mendadak naik juga disebabkan oleh keadaan air pasang besar.
Kelantan mencatatkan taburan hujan luar biasa di sembilan stesen.
Ia termasuk Kusial, Tanah Merah iaitu 1,167 milimeter (mm), manakala Terengganu menyaksikan bacaan tertinggi di Kalabe, Besut dengan 1,439 mm.
"Dua kali ganda daripada jumlah purata hujan dan juga keadaan air pasang besar. Maknanya, air laut memang tinggi dan ia bertembung jadi limpahan.
"Kalau kita bandingkan dengan 2014, paras air sungai lebih tinggi pada waktu itu," katanya.
Beliau bercakap dalam sidang akhbar di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di ibu negara.
Sehingga kini, sebanyak 31 notis ramalan awal dikeluarkan PRABN di 11 negeri, termasuk Johor, Kelantan, dan Terengganu.
Manakala 27 notis hebahan amaran banjir dikeluarkan di 27 daerah melibatkan 518 kawasan banjir.
Dalam sidang media sama, Datuk Seri Fadillah turut memaklumkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersiap siaga meneruskan pemantauan dan menyebarkan maklumat kepada media serta orang ramai untuk persediaan menghadapi banjir.
Beliau berkata ia bagi memastikan orang ramai khususnya di kawasan terjejas dapat mengambil langkah yang lebih awal.
Terdahulu, beliau meninjau dan mendengar taklimat daripada pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkenaan bencana banjir yang direkodkan sejak 5 November lepas, susulan bermulanya Monsun Timur Laut (MTL).
Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai menyemak sumber sahih sebelum menghulurkan bantuan kewangan kepada individu yang menyamar sebagai orang bertangungjawab menyampaikan bantuan banjir.