
KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Semua sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup sepenuhnya pada Jumaat susulan situasi jerebu semasa.
- Penutupan juga melibatkan sekolah di daerah Rompin, Pahang.
- Semua JPN dan PPD diminta memantau keadaan jerebu dan bertindak segera bila perlu.
- Sekolah di Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Labuan terus beroperasi seperti biasa.
- Kementerian menasihatkan ibu bapa ikut makluman rasmi dan akan utamakan keselamatan serta kesihatan murid.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata langkah penutupan itu turut melibatkan sekolah di daerah Rompin, Pahang.
Beliau berkata, semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diminta untuk terus memantau keadaan jerebu dan mengambil tindakan segera sekiranya memerlukan.
“Saya juga memahami bahawa sebarang keputusan penutupan sekolah memberi kesan kepada urusan harian ibu bapa.
“Pada masa akan datang, kita akan memastikan sebarang keputusan penutupan sekolah dimaklumkan lebih awal supaya ibu bapa mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Manakala, semua sekolah di Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan terus beroperasi seperti biasa.
Datuk Seri Fadhlina turut menasihatkan supaya ibu bapa terus mengikuti makluman rasmi daripada pihak sekolah, JPN dan PPD masing-masing.
Kementerian katanya akan sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesihatan anak-anak serta warga sekolah.