fb fb fb fb fb

Jepun ikrar sokongan terhadap Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun depan

FOTO PMO

LIMA, 16 November- Jepun telah menyatakan ikrar sokongannya kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan.

Jaminan itu disampaikan Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba pada pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Lima, Peru.

Kedua-dua pemimpin berada di Lima bagi menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar menyatakan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dengan Jepun apabila memegang jawatan Pengerusi Asean tahun depan.

"Matlamat kami adalah untuk memberi keutamaan kepada hubungan dengan Jepun.

"Jepun merupakan antara negara yang terawal menyokong perkembangan industri negara," katanya.

Kerajaan juga kata Perdana Menteri mahu meneruskan Dasar Pandang Ke Timur melibatkan sektor pendidikan dan pemindahan teknologi.

Datuk Seri Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Shigeru atas pelantikkan sebagai perdana menteri baru-baru ini selain menjemput beliau untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia secepat mungkin.

Jepun merupakan rakan dagangan keempat terbesar bagi negara untuk sembilan tahun berturut-turut.

Jumlah dagangan Malaysia dan Jepun mencecah RM156.64 billion pada 2023.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE