fb fb fb fb fb

Jentera BN diingatkan guna media sosial sebagai medium utama kempen

 

JOHOR BAHRU- 5 Februari- Barisan Nasional, (BN) mahu calon-calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Johor nanti, menggunakan platform media sosial semasa berkempen. 


Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kempen konvensional seperti sebelum ini tidak sesuai terutama dalam menarik sokongan pengundi
muda

“Jangan guna kempen konvesional tapi gunakan kempen-kempen melalui media sosial. Kita berikan kuasa untuk mengkoordinasikan kempen ‘nonverbal communication’ atau kempen tanpa lisan kepada BN bersama Penerangan UMNO Malaysia dan semua jentera penerangan parti-parti komponen," katanya ketika berucap melancarkan Jentera BN Pusat Operasi Zon Barat Johor di Stadium Tertutup Kompleks Sukan EduCity di sini pada malam Jumaat.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad, Naib Presiden MCA Senator Lim Ban Hong, Setiausaha Agung MIC RT Rajasekaran serta barisan kepimpinan tertinggi parti-parti komponen BN.

Katanya, pengundi mahu melihat aktiviti berjalan ikut SOP (prosedur operasi standard) (COVID-19) dan seharusnya jentera menggunakan media sosial sebagai medium pertama dalam berkempen untuk PRU DUN.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut melantik Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar dan Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai pengerusi bersama untuk melakukan penyelarasan jentera BN Zon Barat Johor meliputi Iskandar Puteri, Pulai, Pontian dan Tanjung Piai.

Ahmad Zahid turut berharap semua jentera di peringkat bahagian dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Zon Barat Johor dapat bekerjasama dengan pemimpin yang dilantik sebagai pengerusi bersama bagi melakukan penyelarasan selain tidak mengenepikan SOP COVID-19 yang ditetapkan kerajaan.

Beliau turut mengesahkan Datuk Hasni Mohammad akan terus menjadi Menteri Besar Johor sekiranya parti itu mendapat mandat baharu dalam PRU DUN Johor.

Presiden UMNO itu berkata, beliau telah meneliti draf manifesto, dan ia merupakan akujanji yang boleh dilakukan, dan dapat meyakinkan pengundi Johor untuk terus memilih BN.

Media Baharu