fb fb fb fb fb

BN dan UMNO tidak akan terkubur di Johor- Mohamad Hassan



JOHOR BAHRU, 5 Februari- Keputusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Johor dijangka memberikan impak yang besar terhadap Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, justeru kemenangan dalam PRU DUN Johor wajib dicapai, namun Barisan Nasional (BN) tidak boleh terlalu selesa berdasarkan kemenangan yang telah dicapai sebelum ini semasa PRU DUN Melaka.

“Setiap pilihan raya berbeza-beza, setiap PRN dan setiap PRU bukan sama. Semua orang hendak lihat kita kalah di Johor. Semua parti hendak melihat UMNO yang lahir di Johor...mereka hendak kuburkan kita di negeri lahirnya UMNO. Maka tanggungjawab kita, wajib untuk kita bangkit dan pertahankan,” katanya. 

Beliau pada masa sama turut meletakkan indeks prestasi utama kepada jentera Zon Barat Johor dalam membantu memenangi sekurang-kurangnya lima daripada lapan kerusi DUN.

Tambahnya,beliau yakin (BN) dan UMNO tidak akan terkubur di Johor meskipun ramai pihak terutama parti politik yang mahu melihat perkara itu berlaku pada PRU DUN Johor kali ini.

Mohamad berkata, jentera PRN Johor akan bekerja keras melaksanakan kempen bagi memastikan parti terus kukuh kerana Johor adalah benteng utama UMNO.

"Ramai hendak lihat UMNO dan BN terkubur di Johor. Disebabkan itu banyak parti politik menyatakan keinginan untuk bertanding pada PRN Johor kali ini.

"Keinginan ini tidak akan tercapai di negeri tempat lahirnya UMNO. Jentera PRN Johor akan kerja keras termasuk adakan mesyuarat setiap malam di 'Command Centre' BN untuk lihat gerak kerja setiap hari," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jentera PRN Johor Wilayah Barat di Stadium Tertutup Educity Iskandar Puteri di sini, pada malam Jumaat.

Beliau turut meletakkan sasaran untuk memenangi sekurang-kurangnya lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada lapan kerusi yang ditandingkan di empat bahagian Parlimen di zon Johor Barat.

"Terdapat lapan kerusi DUN di empat bahagian Parlimen iaitu Pulai, Iskandar Puteri, Pontian dan Tanjung Piai yang terletak di dalam zon Johor barat. Maka saya meletakkan sasaran untuk menang lima daripada lapan kerusi DUN.

"Tetapi jika menang lapan, kita akan berpesta besar. Bagaimanapun saya ingatkan jentera tidak boleh terlalu selesa kerana cara tidak Johor tidak sama dengan PRU DUN Melaka," katanya.

Media Baharu