HULU TERENGGANU, 24 April- Sebanyak RM1.57 bilion kerugian dicatatkan akibat jenayah penipuan di seluruh negara tahun lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata jumlah itu meningkat 23 peratus berbanding RM1.21 billion tahun sebelumnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa enam kategori penipuan dengan lebih 35,300 kes dilaporkan berbanding tahun sebelumnya iaitu jenayah telekomunikasi, e-kewangan, penipuan cinta, e-dagang, pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.
"Kita melihat satu trend peningkatan begitu ketara susulan kerugian pada tahun 2022 berjumlah RM851 juta dan pada tahun 2024 meningkat kepada RM1.574 bilion.
"Ia menunjukkan peningkatan ketara dengan penjenayah menyasarkan pengguna telekomunikasi sebagai mangsa. Maksudnya jenayah penipuan dalam talian melibatkan penjenayah berhubung secara terus dengan mangsa-mangsanya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Balai Polis Ajil, di sini.
Peningkatan kes penipuan juga disumbang kepesatan pembangunan teknologi serta peralihan gaya hidup masa kini yang tertumpu kepada penggunaan aplikasi secara dalam talian.
Mengulas mengenai senario jenayah penipuan dalam talian di Terengganu, kes penipuan dalam talian secara keseluruhannya mencatatkan peningkatan kepada 1,251 kes dengan nilai kerugian RM35.7 juta.