fb fb fb fb fb

Keputusan SPM 2024, bukti mutu pendidikan negara meningkat

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (tengah) meraikan kegembiraan bersama calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 setelah memperoleh keputusan cemerlang semasa ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Kajang hari ini/BERNAMA

KAJANG, 24 April- Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 mencatat keputusan terbaik sekali gus membuktikan mutu pendidikan negara semakin baik.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata kementeriannya akan terus melaksanakan inisiatif strategik yang terbukti berkesan, khususnya dalam aspek-aspek yang menyumbang terhadap peningkatan prestasi, dalam memastikan keputusan SPM negara terus menunjukkan pencapaian konsisten, akan datang.

Jelasnya, aspek kehadiran calon ke SPM serta usaha merapatkan jurang prestasi antara kawasan bandar dan luar bandar akan terus dijadikan sebagai keutamaan KPM.

"Soal kehadiran ini antara yang saya fikir cukup signifikan dan intervensi yang kita lakukan telah dapat mengurangkan sedikit sebanyak isu ini. Kemudian, langkah-langkah yang merapatkan jurang luar bandar dan bandar.

Ini juga dapat dilihat cara signifikan dan ini akan terus dipertingkatkan. Tahun lepas, kita mengambil intervensi untuk memberikan tumpuan bagi memastikan kelulusan terus meningkat untuk anak-anak ini yang layak mendapat sijil iaitu dua subjek, Bahasa Melayu dan Sejarah. Kita berjaya pada tahun ini. Maknanya, yang layak untuk dapat sijil juga meningkat," kata Fadhlina kepada pemberita, hari ini.

Perkara itu dinyatakan Fadhlina kepada pemberita selepas menghadiri program bersama calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Kajang, di sini.

Dalam pada itu, semua calon layak diraikan, tidak kira keputusan, yang paling utama ialah kesediaan mereka untuk meneruskan pembelajaran dan memperkukuh masa depan.

Tegas Fadhlina, peningkatan purata gred SPM 2024 adalah hasil sumbangan setiap calon yang menduduki peperiksaan itu.

"Saya tak nak sebutlah tidak cemerlang. Saya sudah sebut tadi tahniah kepada semua anak-anak. Kita kena ingat apa saja keputusan mereka ini menyumbang kepada gred purata sekolah, gred purata daerah, gred purata negeri.

Jadi, keputusan-keputusan mereka ini sangat penting dan kita harap mereka sambung belajar tidak kira apapun keputusan mereka. Insya-Allah, kita akan beri sokongan itu," tambah Fadhlina.

Sementara itu, anaknya yang juga calon SPM dari Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang juga meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM