fb fb fb fb fb

Jemaah haji Malaysia digalak buat bayaran menerusi THiJARI

Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun

MEKAH, 13 Mei- Jemaah haji Malaysia dinasihatkan supaya membuat bayaran dam dan korban melalui aplikasi THiJARI bagi mengelakkan penipuan dan pelaksanaan ibadah yang meragukan.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata, perkara itu bagi mengelakkan jemaah daripada mengeluarkan wang berganda ketika melaksanakan ibadah haji.

"Kita jangan terjebak dengan janji-janji laksana dam atau korban dengan penawaran harga lebih murah dan sebagainya. Kita juga tidak pasti sama ada ibadat dam korban dilaksanakan dengan baik atau sebaliknya.

"Kita pun pernah dengar beberapa penipuan yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ke atas jemaah haji sebelum ini," katanya.

Mohd Hisham berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Tabung Haji (TH) dan The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady and Adahi (ADAHI) di sini.  

Kerjasama antara kedua-dua pihak itu akan memberi jaminan kepada jemaah haji bahawa ibadah dam dan korban mereka dilaksanakan secara telus, bersih serta menepati piawaian antarabangsa seperti ditetapkan.

ADAHI, merupakan satu-satunya organisasi diiktiraf Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, untuk menguruskan penyembelihan korban dan dam secara sistematik serta sah menurut syarak.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI