fb fb fb fb fb

Jeli, Gua Musang, Temerloh dilanda gelombang haba - MetMalaysia

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 3 April- Kawasan Jeli dan Gua Musang di Kelantan serta Temerloh di Pahang masing-masing merekodkan cuaca panas tahap dua atau gelombang haba, setakat pukul 4.30 petang tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi Facebooknya turut memaklumkan terdapat 20 kawasan di Semenanjung dan masing-masing dua kawasan di Sabah dan Sarawak yang merekodkan suhu panas tahap satu atau berjaga-jaga.

Kawasan terlibat ialah seluruh Perlis, Padang Terap dan Baling di Kedah, Hulu Perak dan Kuala Kangsar (Perak), Tampin dan Jelebu (Negeri Sembilan), Jerantut, Bera, Raub, Lipis, Maran, Pekan dan Bentong (Pahang), Pasir Mas, Tanah Merah dan Kuala Krai (Kelantan) serta Besut dan Dungun (Terengganu).

Sementara Sarawak melibatkan kawasan Mukah dan Limbang, di Sabah membabitkan Tuaran dan Tenom.

Gelombang haba merujuk kepada suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Suhu panas tahap satu atau berjaga-jaga pula merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

SITI AISHAH MD ISA