fb fb fb fb fb

Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia akan diadakan di 50 lokasi

SEGAMAT, 7Mac - Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia, yang memberi peluang kedua kepada pelajar yang mahu meneruskan pengajian ke menara gading, bakal diadakan di 50 lokasi di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jelajah tersebut memberi peluang kepada pelajar yang gagal memasuki universiti berikutan penilaian UPU Online, yang tidak mengambil kira status keluarga, tempat tinggal dan sebagainya dalam membuat keputusan.

(Datuk Seri Ismail Sabri pada sidang media selepas pelancaran Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia)

“Jadi sebab itulah kita membuat program ini dan hasilnya ramai pelajar yang gagal tersebut berjaya mendapat tawaran masuk ke universiti pada masa itu juga sewaktu jelajah tersebut.

“Itu sebab program ini kita terus laksanakan walaupun apabila kerajaan Barisan Nasional tumbang pada tahun 2018, kerajaan Pakatan Harapan telah memberhentikan program ini. Walaupun telah bertukar kerajaan (kini) tetapi kerana COVID-19 kita tak mampu untuk meneruskan dan pada tahun ini kita mulakan semula,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia di sini, semalam.

Sejak 2016, seramai 160,374 pelajar telah berjaya memasuki institusi pengajian tinggi awam, institusi pengajian tinggi swasta serta agensi pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), kata Perdana Menteri.

“Pada tahun ini, kita menyasarkan 50,000 pelajar untuk memasuki menara gading. Selain itu, (terdapat) pelajar Sjil Pelajaran Malaysia 2021 dan 2020 yang masing-masing 407,000 orang dan 401,000 orang. Jadi kita jangka yang datang ke jelajah ini adalah dalam kalangan mereka ini,” katanya.

Ismail Sabri juga menyeru mana-mana agensi serta yayasan yang berkemampuan untuk tampil memberikan sumbangan bagi membantu pelajar miskin dan kurang berkemampuan untuk menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

 

 

Media Baharu