(Foto hiasan)
JOHOL, 21 Januari- Kira-kira 1,000 peserta mengambil bahagian dalam kayuhan Jelajah Keilmuan & Ziarah Pusaka Luak Inas anjuran Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS).
Pengarah Muzium Negeri Sembilan, Drs Shamsuddin Ahmad berkata program itu merupakan sebahagian daripada pengisian acara yang diatur bersempena Hari Keputeraan ke-75 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 14 Januari lalu.
Kayuhan meliputi jarak sejauh 18.8 kilometer mengharungi sungai, gunung, kampung Orang Asli, balai penghulu dan alam sekeliling di Luak Inas.
Selain merasai pengalaman mengayuh basikal di laluan mencabar, peserta juga berpeluang mempelajari sejarah kawasan tersebut.
"Kita hendak tonjol teras adat perpatih Luak Inas yang berada dalam Luak Tanah Mengandung. Jadi setiap Luak itu berbeza-beza seperti seadat tidak seresam, Jadi resam Inas akan kita lihat selama sehari di sini," kata Shamsuddin ketika ditemui pada program Jelajah Keilmuan & Ziarah Pusaka Luak Inas di sini.
Beliau berharap, jelajah kali ini dapat menonjolkan adat perpatih Luak Inas kerana ia merupakan antara luak yang tertua jika dibandingkan dengan luak-luak lain di Tanah Mengandung.
(Jelajah Keilmuan & Ziarah Pusaka Luak Inas tonjol teras adat perpatih/Foto hiasan)