KUALA LUMPUR, 21 Januari- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan 2 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya hari ini.
Bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pengguna, Op Selamat 19 terus dipergiat merangkumi pelbagai aspek pemantauan termasuk udara.
Wartawan Syamimi Saripan melakukan tinjauan udara menaiki Helikopter Agusta Westland 139 bersama Pasukan Gerakan Udara PDRM melibatkan beberapa laluan utama di selatan, tengah, timur dan utara.
Helikopter yang dipandu Superintendan Fairuz Jamil dan ASP Muhammad Amir Isa memulakan penerbangan tinjauan aliran trafik di Tol Sungai Besi dan di beberapa laluan utama di ibu negara.
Tinjauan diteruskan ke Tol Jalan Duta menghala utara dan menyaksikan trafik berjalan lancar.
Namun di Tol Gombak, keadaan trafik sesak menuju ke Pantai Timur.
"Hari ini kita lihat cuaca pun tidak begitu baik dengan keadan hujan bermula daripada pagi tadi, kita boleh lihat keadaan kenderaan tidak boleh laju.
"Kita harap semua pengguna lebih berhati-hati bergerak ke destinasi dengan selamat," kata Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, DCP Mohd Nasri Omar.
(DCP Mohd Nasri Omar)
Sementara itu, pemantauan di Lebuhraya PLUS menghala ke selatan di dapati perlahan, susulan pertambahan jumlah bilangan kenderaan.
Orang ramai dilihat bergerak serentak ke destinasi mereka.
Memasuki hari ketiga perlaksanan Op Selamat 19, PDRM merekodkan peningkatan 36 peratus jumlah kemalangan berbanding Op Selamat 17.
Namun jumlah kemalangan maut mencatatkan penurunan 2 peratus kepada 41 kes.
Dari udara, meskipun kelihatan jauh namun pengendali boleh mengesan kesesakan dan sebarang kesalahan lalu lintas seperti menggunakan laluan kecemasan.
Pengguna turut dinasihat tidak menggunakan laluan kecemasan keranan itu akan menyulitkan kerja menyelamat sekiranya kemalangan dan kejadian tidak diingini berlaku.
Laporan disediakan Syamimi Saripan.