fb fb fb fb fb

PKR laksana rancangan tempoh lima tahun, bina kekuatan di Kelantan, Terengganu

KOTA BHARU, 21 Januari- Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan melaksanakan rancangan dalam tempoh lima tahun (2023-2028) untuk membina kekuatan anggota dan jentera parti di Kelantan dan Terengganu.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, perancangan itu perlu dilaksanakan secara jelas dengan setiap pemimpin cabang dan anggota mempunyai tanggungjawab serta peranan masing-masing untuk mendekati masyarakat setempat.

Katanya, pengundi perlukan keyakinan untuk bersama PKR, pengundi juga akan melihat dari segi kehadiran, kualiti khidmat yang diberikan dan sebagainya.

"Oleh itu, kita ada masa tiga minggu untuk perhalusi dan berbincang dengan pimpinan tertinggi dan dijangka rancangan lima tahun ini dilancarkan pada akhir Februari depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pilihan Raya PKR Negeri Kelantan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan dan Terengganu Nik Nazmi Nik Ahmad serta Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan AMK, Adam Adli Abd Halim.

(Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli / FOTO BERNAMA)

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berharap semua anggota PKR di Kelantan dan Terengganu mengambil peluang itu untuk bersama-sama memastikan parti terus diterima masyarakat.

Dalam perkembangan lain, Rafizi berkata koperasi PKR dijangka dilancarkan pada bulan depan namun bergantung kelulusan Suruhanjaya Koperasi dengan sasaran 20 hingga 30 peratus ahli menyertainya.

Media Baharu