KELANTAN, 27 Disember- Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menambah tiga lagi helikopter bagi melancarkan operasi menghantar bekalan makanan ke pos
penempatan Orang Asli di daerah Gua Musang, Kelantan.
Juruterbang Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Azuna Mohamed Sabri berkata, dua helikopter iaitu Agusta 109 E dari Pangkalan Wilayah Tengah dan Agusta Westland 139 dari Pangkalan Wilayah Utara Bertam, Pulau Pinang telah tiba untuk mempercepatkan operasi pada hari ketiga hari ini.
(Juruterbang Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Azuna Mohamed Sabri)
Manakala, sebuah lagi helikopter AW189 dari Pangkalan Wilayah Tengah dijangka akan tiba esok.
Menurut Mohd. Azuna, sejak bermula operasi penghantaran Ahad lalu sudah lebih 14 tan makanan asas dihantar ke perkampungan Orang Asli termasuklah di Pos Gob, Pos Simpor, Pos Balar dan Pos Belatim.
"Untuk makluman kita dah tiga hari dekat sini untuk buat bekalan semula di kampung-kampung orang asli. Hari ketiga kita meminta bantuan pesawat AO9E subang dan AW139 dari bertam. A90E dari subang.
"Yang ini kita terpaksa meminta bantuan sebab ada kawasan-kawasan orang asli yang kapal M17 tidak boleh masuk sebab keadaan yang sempit apa. Jadi kita minta bantuan yang lebih kecil.
Kebanyakannya di Pos Bihai seperti Kampung Tendrik, Sau, adalah yang kita dah lihat yang mana tidak boleh hendak masuk," katanya di sini.
Sebelum ini, Jakoa mendapat kerjasama Unit Udara JBPM untuk menghantar 21 tan makanan kepada seribu 400 Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli di enam buah pos pedalaman daerah Gua Musang yang terputus hubungan selepas laluan keluar dan masuk rosak akibat hujan.
Operasi berkenaan mendapat kerjasama daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Gua Musang.